Sunday, October 30, 2011


S E J A R A H  N E G E R I  S E L A N G O R
PENGENALAN
Negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.
Terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa, Selangor dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.
Secara  umumnya Selangor diairi oleh empat lembangan sungai utama iaitu lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Klang di bahagian selatan serta lembangan Sungai Bernam dan lembangan Sungai Selangor (lembangan terbesar di negeri ini) di bahagian utaranya. Sungai-sungai utama ini dilihat sebagai faktor utama kepada bermulanya petempatan awal masyarakat di sekitar kawasan ini.


SEJARAH AWAL
Perkembangan awal Selangor sebagai sebuah kawasan petempatan banyak disumbangkan oleh faktor geografinya, dengan memiliki jaringan sungai yang mampu mengairi sehingga ke kawasan pedalaman. Dengan kelebihan ini, serta kekayaan flora dan faunanya, ia kemudian menyumbang kepada wujudnya penempatan serta hubungan perdagangan dengan dunia luar.
Berdasarkan kajian terutama menerusi penemuan arkeologi, perkembangan awal sejarah dan warisan budaya Selangor boleh dilihat seawal zaman Hoabinhian. Ia kemudiannya terus berkembang pada zaman Neolitik, zaman Logam dan Protosejarah.
Pada tahap ini, perhubungan ekonomi dan budaya masyarakat tempatannya dengan dunia luar semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong S’on di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat dan Bukit Kuda, Klang serta tiga loceng gangsa di Klang.
GAMBAR 001
Salah sebuah serpihan gendang gangsa Dong S'on yang ditemui di Selangor. Fungsinya dalam sosio budaya masyarakat awal di rantau ini masih belum dapat dipastikan dan dipercayai dihasilkan dalam Zaman Logam.



GAMBAR 002
Loceng gangsa dari Zaman Logam yang ditemui di daerah Klang. Ia dipercayai digunakan sebagai hiasan di leher gajah semasa upacara keagamaan.



Menerusi teks sejarah, nama Selangor pada peringkat awalnya merujuk kepada petempatan di sebuah kuala sungai yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor dan bukan sebuah negeri sebagaimana kini. Walau sejarah awalnya masih kabur, namun pengkaji sejarah bersetuju bahawa Selangor memiliki warisan sejarah yang mendahului zaman Kesultanan Melayu Melaka selama lebih seabad.
Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.
Menerusi Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun Jana Khatib dan Tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura pada abad ke-14. Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Nama Klang juga disebut dalam puisi Nagara Kertagama hasil tulisan Prapanca, seorang  pujangga kerajaan Majapahit pada tahun 1365. Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.


ASAL USUL NAMA SELANGOR
Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.
GAMBAR 003
Muara Sungai Selangor yang menjadi nadi kepada pertumbuhan petempatan awal di sekitar Kuala Selangor. Peranannya yang cukup penting kepada perkembangan ekonomi, politik dan sosio budaya masyarakat setempat dapat dilihat apabila ia dijadikan sumber dalam menamakan negeri yang kini dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan.

Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau  perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.
Menurut satu kisah, satu ketika dahulu kawasan kuala sungai tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.
Kisah yang lain menceritakan bagaimana seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.


PEMERINTAH AWAL
Sebelum pengasasan Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446 sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).
Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.
Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di sini.
Sekitar tahun 1700, Dato’ Engku Kelang  selaku wakil kerajaan Johor, melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran Yamtuan. Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti dan seterusnya digantikan oleh Raja Lumu.


PENGASASAN KESULTANAN SELANGOR
Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan sosiopolitik Selangor.
Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.
Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.
Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.
Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi.
Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah tidak mengiktiraf perjanjian itu.
Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.

DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR
1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan Muda  Daeng Chelak, 1766 -1782

2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, 1782-1826
3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857
4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah,1857-1898
5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, 1898-1938
6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1938-1942 dan 1945-1960
7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1942-1945
8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, 1960-2001
9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-kini
 GAMBAR 004
Almarhum DYMM Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor yang keempat (1557-1898), bergambar bersama kerabat dan orang-orang istana. Di sebelah kanan baginda adalah cucunda kesayangannya, Tengku Suleiman Shah yang kemudian menaiki tahkta sebagai Sultan Selangor yang kelima dengan gelaran Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1898-1938).

NEGERI SELANGOR DI ZAMAN KOLONIAL
Sejak dari peringkat awal penubuhannya, Negeri Selangor telah berkembang  sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah di bawah pemerintahan Kesultanan Selangor. Kuala Selangor memainkan peranan penting ketika itu sebagai pelabuhan utama pengeksportan bijih timah kepada pedagang barat.

GAMBAR 005 & GAMBAR 006
Aktiviti perlombongan bijih timah merupakan antara aktiviti ekonomi terawal dijalankan di Selangor sejak dari awal penubuhannya lagi dan ia terus berkembang sebagai pusat perdagangan dan pengeluaran bijih timah.
Kedatangan kuasa British ke Tanah Melayu dan pengenalan Sistem Residen telah membatasi kuasa Sultan dan pemerintah-pemerintah negeri.
Semasa pentadbiran British, sebuah Majlis Mesyuarat Negeri ditubuhkan pada tahun 1877 dengan dianggotai oleh Sultan, Residen Inggeris dan pembesar Negeri. Sultan Selangor ketika itu, Sultan Abdul Samad membentuk Majlis Mesyuarat Negeri berdasarkan kaedah barat dan mengikut panduan Residen Inggeris pada masa itu, Bloomfield Douglas.
Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri yang pertama ialah Tengku Kudin dengan ahli-ahlinya seperti berikut:
1. Kapten Bloomfield Douglas (Residen)
2. Raja Kahar, putera Sultan Abdul Samad (Raja yang menjaga Kajang)
3. Raja Berkat Tengku Panglima Raja (Raja yang menjaga Kanchong)
4. James Innes (Pemungut cukai tanah dan Majistret Langat)
5. Taukeh Yap Ah Loy (Kapitan Cina di Kuala Lumpur)
6. Saiyid Zain (Wakil dan Pengurus Kebun-kebun Tengku Kudin)
Majlis Mesyuarat Negeri bersidang buat pertama kalinya di Klang pada 11 Jun 1877 dan persidangan kali kedua telah diadakan pada 25 Jun 1877.
Pada Mac 1880, pemerintahan Negeri Selangor telah berpindah dari Klang ke Kuala Lumpur. Pemindahan ini juga menyaksikan kuasa pentadbiran pembesar-pembesar Melayu diambil alih oleh pegawai-pegawai Inggeris khasnya Residen Inggeris di Selangor.
Tengku Kudin mengambil tindakan meletak jawatan sebagai Yang DiPertua kerana menyedari bahawa kuasa beliau semakin berkurangan. Jawatannya telah digantikan oleh Raja Muda Musa (putera Sultan Abdul Samad), manakala Inggeris menguasai sepenuhnya pentadbiran Negeri Selangor. Selepas kemangkatan Raja Muda Musa pada tahun 1884, Sultan Abdul Samad telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Negeri.
Pada 1 Julai 1896, Negeri Selangor bersama-sama Perak, Negeri Sembilan dan Pahang diletakkan di bawah pentadbiran seorang Residen General dan dinamakan Negeri-negeri Melayu Bersekutu melalui Perjanjian Persekutuan yang dimeterai setahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, Majlis Mesyuarat Negeri masih terus berjalan di keempat-empat Negeri tersebut.
Perubahan seterusnya berlaku pada tahun 1909 dengan penubuhan Majlis Persekutuan yang dianggotai oleh keempat-empat Sultan Negeri tersebut, empat Residen Negeri, empat anggota tidak rasmi dan Residen General. Dalam Majlis ini, Sultan tidak memiliki sebarang kuasa melainkan hanya memberi nasihat kepada pegawai pentadbir Inggeris khususnya dalam perkara-perkara tertentu berhubung dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam.
Pada 1927, Sultan Selangor dan Sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang lain telah keluar dari Majlis Mesyuarat Persekutuan. Berikutan itu, pihak Inggeris telah mengambil langkah menambah lagi kuasa Majlis Mesyuarat Negeri dalam bidang pentadbiran dan menambah anggota tempatan.
GAMBAR 007
Para pembesar Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan pegawai-pegawai tertinggi pentadbiran Inggeris bergambar ketika Persidangan Raja-raja (Durbar) yang diadakan di Klang pada tahun 1933. Duduk dari kiri, DYMM Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan, DYMM Sultan Perak, Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, DYMM Sultan Sultan Alaeddin Suleiman Shah (Sultan Selangor) dan DYMM Sultan Pahang. Di belakang setiap pembesar Melayu adalah Residen Inggeris untuk setiap negeri terbabit dan diikuti pegawai-pegawai kanan pentadbiran inggeris.

Pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini berterusan sehingga ke tahun 1941 apabila Jepun menyerang Tanah Melayu. Apabila Jepun menyerah kalah, Selangor diletakkan di bawah pemerintahan British Military Administration (BMA) dari September 1945 hingga awal 1946.
Pihak Inggeris telah mengemukakan gagasan Malayan Union yang menerima tentangan hebat daripada orang-orang Melayu. Ia kemudiannya dimansuhkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Ia terdiri daripada sembilan buah Negeri Melayu (Selangor, Perak, Negeri Sembilan, Pahang,  Perlis, Kedah, Johor, Terengganu, Kelantan) dan Negeri-negeri Selat (Pulau Pinang, Melaka dan Singapura). Pembentukan ini merupakan langkah pertama kepada kemerdekaan.


NEGERI SELANGOR SELEPAS KEMERDEKAAN DAN KINI
Rombongan yang diketuai oleh Tunku Abdul Rahman telah bertolak ke London bagi tujuan perundingan kemerdekaan Tanah Melayu yang seterusnya membawa kepada Perjanjian London pada 8 Februari 1956. Melalui rundingan tersebut, tarikh kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah ditetapkan pada tanggal 31 Ogos 1957.
GAMBAR 008
Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj Ibni Almarhum Sutan Abdul Hamid Halim Shah, Perdana Menteri pertama, mengisytiharkan Kemerdekan Tanah Melayu di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 31 Ogos 1957.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 Ogos 1957 dan mula dikuatkuasakan pada 27 Ogos 1957. Perlembagaan Tanah Melayu 1957 ini adalah berasaskan kepada sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.
Pada 31 Ogos 1957, perisytiharan kemerdekaan dan penurunan bendera Union Jack telah dilangsungkan di Padang Kelab Selangor. Pada hari bersejarah ini juga, Tunku Abdul Rahman telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang pertama sementara Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman dilantik sebagai Yang Dipertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu yang pertama.
Malaysia kemudiannya lahir enam tahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya melalui gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963. Walau bagaimanapun, Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965.
Negeri Selangor Darul Ehsan menjadi negeri di bawah Persekutuan Malaysia yang mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sebagai Ketua Negeri dengan dibantu oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan yang menyelaras pentadbiran negeri. DYMM Sultan Selangor adalah menjadi ahli bagi Majlis Raja-Raja yang turut dianggotai oleh Raja-Raja Negeri-negeri Persekutuan Malaysia dan yang Dipertuan Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Negeri Selangor Darul Ehsan mempunyai peranan yang amat penting dalam sejarah pembentukan dan perkembangan Negara Malaysia. Kuala Lumpur telah menjadi pusat pentadbiran bagi Persekutuan Tanah Melayu dan pusat kegiatan perdagangan, perniagaan dan perbankan. Pada 1 Februari 1974, satu perjanjian antara Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani bagi penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
GAMBAR 009
Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menandatangani Perjanjian Wilayah Persekutuan antara Kerajaan Negeri Selangor Darul Ehsan dengan Kerajaan Persekutuan Malaysia bagi penubuhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 2 Februari 1974. DYMM Sri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong Yang Kelima mewakili Kerajaan Persekutuan.

Berikutan dengan itu, sebuah kawasan yang terletak kira-kira 25 km ke arah barat daya Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Sungai Renggam dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk dijadikan ibu negeri yang baru untuk Selangor bagi menggantikan Kuala Lumpur. Ia turut meliputi kawasan Batu Tiga yang telah pun menjadi pusat perladangan tanaman kelapa sawit dan getah sejak sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Sultan Selangor Ketika itu, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah berkenan menamakannya Shah Alam sempena nama Almarhum ayahanda baginda, DYMM Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj.
 GAMBAR 010
Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah adalah antara mercu tanda terawal dibina di Shah Alam. Bangunan setinggi 24 tingkat ini dibina dengan ciri-ciri rekabentuk tradisional Bugis, menempatkan Pejabat Setiausaha Kerajaan serta jabatan-jabatan Kerajaan Negeri Selangor.
GAMBAR 011
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang juga dikenali sebagai "Masjid Biru" siap dibina pada 1988 dan dianggap ramai sebagai binaan terindah di Selangor. Ia mempunyai empat menara setinggi 142.3 meter dengan kubah bewarna biru yang dihiasi ayat-ayat suci al-Quran.


Kini Shah Alam sebagai sebuah bandar raya terancang dan moden, menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Negeri yang meliputi kawasan perumahan, kemudahan riadah, kawasan perindustrian serta pusat bandar dan komersial yang lengkap, indah dan menarik.
GAMBAR 012
Bandar raya Shah Alam sebagai ibu neger yang menjadi nadi pembangunan Negeri Selangor Darul Ehsan.


Negeri Selangor sentiasa di hadapan dalam pelbagai bidang. Ia menjadi pusat perdagangan, kewangan, pembinaan, pengangkutan dan pembuatan yang menyumbang kepada pendapatan utama negara. Selangor turut menyumbang di dalam sektor pertanian dan perikanan.
Salah satu faktor yang menjadikan negeri ini sebagai pemangkin kemajuan negara adalah kerana pemusatan kegiatan ekonomi di Lembah Klang yang juga terletaknya Kuala Lumpur di tengah-tengah Negeri Selangor.
Kini Putrajaya pula telah menjadi pusat pentadbiran negara dan telah menjadi Wilayah Persekutuan pada tanggal 1 Februari 2001. Pembangunan Wilayah Persekutuan Putrajaya bakal membangunkan kawasan pinggiran Putrajaya dan hasilnya akan turut dirasai oleh rakyat Negeri Selangor Darul Ehsan.
Pada 27 Ogos 2005, kerajaan Negeri Selangor mengisytiharkan Selangor sebagai negeri berstatus maju yang pertama di Malaysia. Sesuai dengan kedudukan Negeri Selangor yang sering memainkan peranan sebagai penentu rentak pelbagai dimensi pembangunan Malaysia, maka pengisytiharan ini menandakan Selangor sebagai produk pertama Wawasan 2020.
GAMBAR 013
YAB. Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia menurunkan tandatangan ketika Majlis Pelancaran Taman Warisan Selangor di Taman Rekreasi Empangan Klang Gate,  Hulu Klang pada 27 Ogos 2005. Turut sama menyaksikan, YAB Dato' Seri Mohamad Khir Bin Toyo, Dato' Menteri Besar Selangor. Ia adalah sebagai tanda simbolik pengisytiharan Selangor sebagai sebuah Negeri Maju.
Sebagai tanda simbolik pengisytiharan Selangor Maju ini, Kerajaan Negeri telah mengadakan Majlis Pelancaran Taman Warisan Selangor dan Pelancaran Tapak Perpustakaan Selangor Maju. Taman Warisan Selangor telah dirasmikan oleh YAB. Dato' Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia di Taman Rekreasi Empangan Klang Gate, Ampang, Hulu Klang, manakala Pelancaran Tapak Perpustakaan Selangor Maju telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Selangor.

No comments:

Post a Comment